Saturday, February 9, 2013

Potensi besar sektor hartanah (Utusan Malaysia- ARKIB : 25/03/2011)

Potensi besar sektor hartanah

Potensi besar sektor hartanah

KUALA LUMPUR 24 Mac - Orang Melayu dinasihatkan supaya melibatkan diri dalam sektor pengurusan hartanah kerana ia dapat meningkatkan perkembangan ekonomi kaum tersebut.
Pengurus Reapfield Sdn. Bhd. (Reapfield), Norashikin Kamaruddin (gambar) berkata, agak mengecewakan apabila sektor yang mampu menjana pendapatan lumayan itu tidak diminati orang Melayu apabila menyamakannya dengan kegiatan broker haram.
"Cuma kira-kira 10 peratus orang Melayu di negara ini menceburi sektor itu yang mencatat jualan hartanah bernilai kira-kira RM100 bilion di negara ini pada tahun lepas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Persidangan Perniagaan Tahunan Reapfield di sini hari ini.
Jelasnya, sektor yang didominasi oleh kaum lain itu perlu diimbangi dengan penglibatan yang serius oleh orang Melayu supaya ia dapat berkembang dengan lebih pesat.
Katanya, Reapfield sebagai syarikat pengurusan hartanah akan memberi kursus selama lima hari kepada ejen hartanah dengan bimbingan oleh mereka yang berpengalaman bagi memastikan mereka memahami perkembangan industri, undang-undang dan tanggungjawab dalam sektor itu.
Sementara itu, Ketua Pemasaran Reapfield, Fatimah Mat Amin berkata, terdapat segelintir orang Melayu yang lebih gemar menjadi broker haram supaya dapat mengaut keuntungan sehingga 10 peratus daripada harga jualan hartanah tersebut.
Menurutnya, broker haram akan bersekongkol dengan peguam bagi menjual hartanah itu menerusi iklan yang ditampal di merata tempat dan di Internet bagi menjerat mangsa.
"Justeru, orang ramai perlu menggunakan khidmat ejen hartanah profesional yang bertauliah bagi mengelakkan daripada ditipu oleh broker-broker haram ini," katanya lagi.
Pada tahun lepas, Reapfield berjaya menjual 5,500 hartanah bernilai RM2.72 bilion.




© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: