Monday, March 4, 2013

INSAN TERPILIH~ http://www.muhdkamil.org


Assalamualaikum 
I am so excited reading Prof Muhd Kamil's work. I really adore him and his journey of life. He is one of my mentor. 
Here I would like to share one of his work taken from http://www.muhdkamil.org. 

INSAN TERPILIH
Allah SWT berfirman pada hari kiamat: "Hai Adam! Bangkitlah, siapkanlah sembilan ratus sembilan puluh sembilan keturunanmu [untuk ditempatkan] dalam neraka, dan satu akan ditempatkan dalam syurga.
MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Saya mohon keampunan Allah.
Saya sering memikirkan soal kematian, kehidupan selepas kematian dan kehidupan kekal abadi. Pilihannya sangat mudah, syurga atau neraka. Sebodoh-bodoh manusia yang percaya kepada hari pembalasan pastinya akan memilih syurga.
Hakikat sebenar, ia bukan soal pilihan kerana pilihan sudah dibuat sejak manusia dilahirkan. Ia fikrah atau fitrah manusia. Lalu isu yang bermain-main di fikiran samada kita sendiri mahu merealisasikan cita-cita dan harapan yang terkandung di dalam hati sanubari. Ia – akhirnya – persoalan berjaya atau tidak manusia ke syurga.
Isu syurga dan neraka jika diperhalusi dengan bersungguh-sungguh akan memberi kesan besar kepada jiwa manusia. Misalnya, apabila saya terbaca hadis di atas, secara semulajadi jiwa saya berkata-kata betapa sukar untuk hambaNya memasuki syurga.
Apatah lagi untuk terpilih tanpa dihisab. 1 dalam 1000. Secara matematik, ia hanya 0.1 peratus. Tidak sampai pun 1 peratus. Hakikatnya, 999 lagi akan memasuki neraka untuk menerima hukuman dan – kemudian – sebahagian daripada mereka akan dipindahkan ke syurga.
Ia juga mungkin dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut apa yang perlu mereka lunaskan mengikut timbangan perbuatan mereka di dunia. Selebihnya akan kekal di neraka buat selama-lamanya.
Saya berfikir begitu. Itulah akal orang yang tidak berilmu.
Namun ia fikiran yang memberi kesan besar. Membaca hadis ini benar-benar membuat saya termenung mengenang diri yang serba kekurangan di sisi Allah. Ia membawa kepada perasaan takut dan gementar.
Saya tidak mahu ke neraka walaupun sesaat. Saya tidak mahu menunggu lama untuk dihisab. Malah saya tidak terfikir bagaimana mahu menerima surat amal melalui tangan kiri lalu dikhabar yang tempat mu nanti di neraka.
Hati terfikir-fikir, impian mahu ke syurga tetapi tercampakkah aku ke neraka? Jika begitu, mampukah aku menahan kepanasan api neraka yang berganda kepanasannya berbanding dengan api di dunia.
Bagaimana pula dengan kedua ibu bapa, isteri, anak-anak, kaum keluarga dan sahabat handai? Di mana pengakhiran aku dan mereka? Bertemukah kami di syurga? Atau terpisahkah kami di dua kawasan yang berbeza?
Ia persoalan besar yang sangat menghibakan.
Saya melihat statistik dunia (www.worldometers.info) mencatatkan statistik masa sebenar berpandu beberapa andaian yang agak munasabah. Misalnya, dicatatkan penduduk dunia semasa (Rabiul Akhir, 1434) berada di sekitar 7 bilion.
Ditakdirkan jika Allah memerintahkan malaikat pengambil nyawa – Izrail – melaksanakan tugasnya pada hari ini, Subhanallah, kalaulah benar 0.1 peratus daripada 7 bilion ini terpilih ke terus ke syurga, maka jumlahnya hanya di sekitar 7 juta orang. Ya Allah, ia jumlah yang sangat kecil. Rakyat Malaysia sahaja sudah hampir 30 juta.
Namun saya masih tidak berpuas hati. Saya mahu melegakan hati. Allah Maha Pengasih. Allah Maha Penyayang. Otak matematik saya terus mencongak.
Jika kita hanya mengambil kira umat Islam yang secara puratanya berada di sekitar 23 peratus, maka jumlah manusia yang boleh dipertimbang untuk ke syurga – dengan andaian faktor lain tidak berubah – di sekitar 1.6 bilion.
Maka jumlah asal berdasarkan 1/1000 itu meningkat di sekitar 0.4 peratus, kurang-lebih 4 orang bagi setiap 1000 muslim.
Allahu Akbar, Subhanallah, MasyaAllah, ia tetap merupakan jumlah yang sangat kecil!
Akhirnya saya membuat kesimpulan mudah walaupun pahit untuk diterima. Saya meyakini betapa mereka yang berjaya memasuki syurga tanpa dihisab merupakan golongan terpilih. Namun ia mengikut aturan. Misalnya, aturan asas berdasarkan surah Al-Fajr terkandung melalui ayat 27-30 yang membawa maksud,
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia.
Dan masuklah ke dalam syurgaKu!
Syurga adalah milik mereka yang beriman dan beramal soleh. Ia boleh dimasuki dengan rahmat Allah. Itulah kriteria dan asas utama. Saya fikir, inilah golongan terpilih. Insan terpilih pula terbahagi kepada beberapa keadaan.
Mungkin mereka terpilih di dunia tetapi tidak di akhirat. Ada juga yang terpilih di dunia dan akhirat. Hakikatnya, mereka yang terpilih di akhirat semestinya terpilih di dunia tetapi ramai yang tidak mampu mentafsir dengan baik.
Acap kali saya merasai menjadi golongan terpilih di dunia. Misalnya, saya belajar sehingga ke peringkat PhD. Di dalam keluarga yang hampir, sayalah satu-satunya berkelulusan begitu.
Jika sasaran menjadikan 60000 rakyat Malaysia mempunyai kelulusan PhD menjadi kenyataan pada 2023, dan jika saya masih bernyawa pada ketika itu, maka saya termasuk di dalam kelompok 0.2 peratus, kira-kira 2 orang dalam setiap 1000 warga Malaysia. Ia lebih kecil daripada nisbah masuk syurga tanpa dihisab (4/1000).
Juga, saya rasa terpilih kerana kelulusan ini diperolehi dalam tempoh singkat berbanding dengan ramai rakan-rakan seuniversiti. Hanya 30 bulan. Saya berbangga dan teruja sehingga menulis buku PhD Kecil tapi Signifikan.
Ia menceritakan strategi hebat seorang manusia yang tidak bersandar kepada kekuasaan Allah SWT. Allahu Akbar, saya mohon keampunan Allah di atas segala kesombongan diri yang tidak bersempadan.
Tentu sekali saya rasa terpilih kerana telah dilantik sebagai profesor ketika usia tidak sampai pun 40 tahun. Ia lantikan termuda di dalam sejarah universiti di mana saya berkhidmat.
Bayangkan bagaimana rasa seorang anak muda yang dilantik memegang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ketika rakan sejawat masih terkial-kial mencari jalan ke puncak kerjaya. Namun perlantikan inilah yang telah mengubah seluruh kehidupan saya sebagai seorang hamba Allah.
Saya melihat Dia yang sangat hampir. Dia yang Maha Mendengar dan Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ia telah dicatatkan melalui bab yang terdahulu.
Membaca dan menghayati hadis di atas menyebabkan saya menjadi seorang pemerhati. Saya melihat betapa benar gambaran hadis dengan suasana masyarakat semasa.
Misalnya, saya telah berkunjung ke beratus-ratus masjid dan surau di Malaysia. Jumlah jemaah solat subuh nyata mendukacitakan. Hampir kebanyakan masjid dan surau jemaahnya tidak sampai pun satu saf. Nyata, gambaran 1/1000 sangat jelas.
Ketika saya dihantar untuk mengetuai sebuah kampus cawangan universiti, saya terasa sangat sebak dan terharu. Kunjungan pertama ke masjid kampus ketika solat zuhur menunjukkan terdapat 3-4 jemaah sahaja.
Ironinya, bilal bertugas juga tidak hadir untuk melaksanakan amanah tersebut. MasyaAllah, Subhnallah, Allahu Akbar, bayangkanlah dengan jumlah pelajar melebihi 6000 dan staf akademik serta pentadbiran yang menghampiri 500 orang, maka jumlah jemaah yang terlalu sedikit itu memberi signal yang jelas. Benar, 1/1000 wujud dalam sebuah organisasi yang hampir 100 peratus beragama Islam.
Kemudian, saya melihat bagaimana wanita Islam Malaysia menutup aurat. Ramai yang menyangkakan mereka telah melaksanakan perintah Allah SWT dengan memakai tudung kepala.
Saya tidak perlu pergi jauh. Merenung ahli keluarga sendiri atau sanak-saudara yang hampir menyesakkan dada. Malah melihat staf wanita yang di bawah pimpinan saya juga nyata mendebarkan. Kesemuanya beragama Islam. Ramai yang menutup kepala tetapi tidak menutup aurat.
Benar, bila tiba waktu solat mereka akan mengadap Allah tetapi rata-rata perlu memakai telekung solat kerana merasai pakaian yang sedang dipakai masih belum sempurna untuk mengadap Allah SWT.
Maksudnya, mereka mengetahui hakikat sebenar bagaimana aurat perlu dijaga. Kedegilan dan nafsu mahu kelihatan cantik, anggun dan bergaya mengikut acuan atau ramuan Iblis atau syaitan nyata tidak dapat ditolak-tolak.
Malah ia menjadi tidak apa kerana hampir keseluruhan masyarakat menganggap ia bukan perlakuan tercela. Allah ya Allah, benar, hanya 1/1000 yang mahu menjadi wanita solehah.

Nota Hadis:
Hadis Riwayat Imam Tirmizi pada Jami' Tirmizi, kitab: Tafsir Al-quran, bab: Surah Al-Haj, nombor hadis: 3169. Syeikh Al-Albani menyatakan hadis ini sohih.
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Tabrani pada kitabnya Mu'jam Kabir. Ia tercatat pada nombor hadis 306.

No comments: