Sunday, June 28, 2009

Sifat Tawaduk adalah keperibadian para Nabi dan Rasul

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

SEBUAH keluarga diselimuti suasana damai atau masyarakat yang hidup dalam harmoni, sejahtera dan permai menjadi dambaan semua insan. Namun, jika masyarakat memiliki sifat bakhil, sombong, pasti suasana kehidupan seperti diharapkan itu tidak tercapai.

Oleh itu, setiap anggota masyarakat harus insaf hidup bermasyarakat perlu mempunyai sifat mahmudah yang ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan antara sifat terpuji itu ialah tawaduk. Tawaduk dari segi bahasa bermakna merendahkan diri, tidak angkuh atau sombong. Dari segi istilah membawa maksud tunduk dan akur kepada segala kebenaran dan menerima kebenaran itu.

Sifat tawaduk sinonim dengan keperibadian anbia, Rasulullah SAW dan sahabatnya. Inilah pakaian jiwa orang beriman dan taat dengan segala perintah Allah. Bagaimanakah mengenali tanda sifat tawaduk? Syeikh Ahmad Ibn ‘Athaillah dalam kitab al-Hikam menyenaraikan empat tanda iaitu:

l Tidak marah apabila dimaki.

l Tidak benci apabila dicela atau dituduh sombong.

l Tidak haloba pangkat dan darjat di kalangan orang ramai.

l Tidak rasa dirinya termasuk orang yang disegani dalam hati setiap orang.

Keempat-empat tanda dikemukakan di atas membuktikan sifat merendah diri lahir daripada keinsafan melihat kebesaran Allah dan sifat-Nya, bukan dibuat-buat atau lakonan semata-mata. Ekoran itu, apapun yang datang menggoda, dia tetap dengan tawaduknya kerana kefahaman yang sebati dalam batinnya meyakini merendah diri bukan menggambarkan kebodohan dan kelemahan seseorang bahkan Allah mengangkat darjatnya ke tempat yang tinggi di sisi-Nya.

Rasulullah SAW pernah mengungkapkan yang bermaksud: “Dan tidak ada seorang pun yang bersifat tawaduk kerana Allah melainkan Allah mengangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim dan At-Tarmizi) Namun ada masyarakat hari ini yang terpesong dalam memahami sifat tawaduk. Mereka hanya memahami tawaduk daripada aspek gaya bercakap lemah-lembut yang menyejukkan hati mendengarnya, bergaul ada batasannya, berpakaian menutup aurat walaupun lusuh dan jika mengambil makanan begitu tertib, berjalan mesti sopan dan tunduk ke bawah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63) Mereka hanya faham sebatas itu saja. Dalam soal lain seperti muamalah, pentadbiran dan ekonomi mereka tidak mengikut acuan syariat Islam sebaliknya menurut telunjuk nafsu sendiri. Gambaran tadi sebenarnya amat jauh daripada mencapai tahap tawaduk.

Tawaduk yang menepati kehendak Islam mengikut Ibn Al-Qayyim ialah tawaduk kepada agama iaitu mematuhi segala perintah Allah, meyakini apa saja yang dibawa Rasulullah SAW.

Sifat tawaduk Rasulullah SAW sepanjang langkah kehidupannya amat mengagumkan. Walaupun Baginda berpangkat Rasul, mulia di kalangan masyarakat dan menjadi insan paling dikasihi Allah, baginda tidak segan dan sombong melakukan pekerjaan dilakukan orang bawahan seperti mengangkat batu ketika membina Masjid Madinah dan menggali parit dalam peperangan Khandaq.

Pada waktu lain, Rasulullah SAW menerima permohonan maaf daripada seseorang, menampung sendiri pakaiannya, menjahit kasutnya dan turut membantu kerja rumah ahli keluarganya. Begitu juga dalam kehidupan sahabatnya seperti Saidina Umar Al-Khattab, meskipun seorang khalifah, beliau berjalan kaki untuk suatu keperluan sehingga kepenatan. Keadaan itu dilihat seorang pemuda yang sedang menunggang himar.

Saidina Umar berkata kepadanya: “Wahai pemuda, bawa aku, aku benar-benar kepenatan”. Pemuda tadi turun dari kaldainya seraya mempersilakan Saidina Umar naik. Saidina Umar menolak dan cuma mahu menumpang di belakang pemuda itu hingga masuk kota Madinah dan orang melihatnya. Begitulah tawaduknya sahabat Nabi SAW. Jika tawaduk diterapkan dalam diri dan keluarga serta masyarakat tanpa mengira pangkat atau keturunan, tentu wujud masyarakat mesra dan bersatu.

Betapa cantik ajaran Islam dan tersiar syiar agama yang suci kerana dengan sifat tawaduk, orang akan hormat kepadanya serta mudah bergaul tanpa rasa malu serta takut. Pada dirinya tidak ada lagi kesombongan dan ingin menunjuk-nunjuk, marah dan merendahkan orang lain. Orang tawaduk dijanjikan Allah syurga seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat zarah perasaan takbur (sombong).” (Hadis riwayat Muslim)

Kedudukan orang tawaduk sangat mulia dan tinggi di sisi Allah. Rasulullah SAW menggambarkannya dalam hadis bermaksud: “Tawaduk tidak menambah kepada seseorang kecuali ketinggian kerana itu bertawaduklah kamu, semoga Allah meninggikan darjatmu.” (Hadis riwayat Ibn Abu Ad-Dunya)

Demi menyempurnakan keperibadian dan mencapai tahap mukmin sejati, seseorang harus mengamalkan sifat tawaduk dalam kehidupan sehari-hari dan menjauhkan diri daripada sifat takbur, sombong dan ujub yang semua itu hanya mengundang kebencian masyarakat serta memecah belah kesatuan Islam.

sumber: http://www.bharian.com.my/

Insan tawaduk sentiasa merendah diri, bijak bicara

Oleh Hashim Ahmad
bhagama@bharian.com.my

Berjalan atas bumi ini dengan tenang, usah sombong, jangan angkuh dan tidak bersikap kasar

KETIKA orang melontarkan ucapan buruk, mereka tidak membalas dengan ucapan yang sama namun memaafkannya. Mereka sentiasa berkata yang baik, tidak terpengaruh oleh kejahilan pihak yang melakukan kejahatan kepada mereka.

Hamba Allah yang penyayang adalah insan pilihan dengan peribadi diharapkan. Mereka dinyatakan secara tersendiri dalam lembaran firman Allah dan mendapat pujian khusus dari-Nya. Bagaimanakah ciri hamba yang memiliki kedudukan mulia itu?

  • Tawaduk iaitu rendah hati. Allah menggambarkan keadaan mereka dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

Sifat pertama seorang hamba yang menyandang gelaran ‘ibadurrahman‘ adalah tawaduk. Mereka berjalan atas bumi ini dengan tenang dan ringan, tidak sombong dan tidak angkuh, tidak berjalan dengan sangat cepat yang menunjukkan sikap kasar, juga tidak berjalan dengan sangat perlahan yang menunjukkan sifat malas dan letih. Insan pilihan ini berjalan dengan ringan, penuh semangat, tekad, kelelakian dan jiwa muda.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan.” (Surah Luqman, ayat 19). Maknanya mereka bersederhana dalam semua urusan tidak berlebihan atau keterlaluan sekali.

Ibadurrahman berjalan di pelosok bumi untuk mencari rezeki dan tuntutan hidup dengan penuh kelembutan dalam batas yang diperkenankan Allah. Mereka tidak rakus, tamak, mensia-siakan kewajipan, melakukan hal yang diharamkan atau pun melakukan pembaziran.

Mereka teramat jauh daripada sikap keras, menghina orang lain, sombong, berbangga diri dan berbesar diri. Mereka tidak berbuat kerosakan di muka bumi, mencari ketinggian, lebih mendahulukan keuntungan dan bersenang-senang dengan kenikmatan kehidupan duniawi.

  • Lemah lembut. Sifat lemah lembut dinyatakan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

Inilah sifat mereka ketika orang bodoh melontarkan ucapan buruk, mereka tidak membalas dengan ucapan yang sama, namun memaafkannya. Malah mereka mampu menahan lisan dan emosi daripada bersikap sama seperti orang yang jahil.

Nabi SAW menjadi ikutan mereka. Diriwayatkan, “Satu ketika ada seorang Arab Badwi datang kepada Rasulullah dan berkata kasar, lalu kaum Muslimin marah dan ingin mengajarnya, namun hal itu dicegah oleh Baginda. Baginda membalas sikap kasar itu dengan kasih sayang dan lemah lembut.” (Hadis Muttafaqun ‘alaih)

  • Banyak bersujud dan berdiri. Allah meneruskan gambaran peribadi ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Rabb mereka.” (Surah al-Furqan, ayat 64)

Allah menyebut hamba-Nya sebagai orang yang mencintai malam hari dengan melakukan ibadah. Mereka bangun saat orang sedang nyenyak tidur, waspada saat orang lengah, sibuk mengingati Rabb mereka, menggantungkan jiwa dan anggota badan mereka kepada-Nya.

Ketika orang lain terlena dan merasa mantap dengan kehidupan duniawi, mereka inginkan ‘Arsy ar-Rahman sebab mereka mengetahui bahawa ibadah di kegelapan malam dapat menjauhkan mereka dari sifat riak. Ibadah pada malam hari juga membangkitkan kebahagiaan di hati dan ketenangan bagi jiwa serta penerangan bagi penglihatan mereka.

Saat berdiri di hadapan Alah dan mengarahkan mereka kepada-Nya, mereka merasakan kelazatan dan kebahagiaan yang tidak terkira. Tiada lagi rasa manis setelah manisnya beribadah kepada Allah, bermesra, dan menjalinkan hubungan dengan-Nya. Melakukan qiamulail sifat asli ‘ibadurrahman. Allah menyebut mereka dengan sifat itu dalam banyak ayat dan menganjurkan para Nabi melakukan hal itu.

  • Takutkan neraka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang berkata, Ya Rabb kami, jauhkan azab Jahannam dari kami, sesungguhnya azab itu adalah kebinasaan yang kekal. Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.” (Surah al-Furqan, ayat 65-66)

Sekalipun ‘ibadurrahman sangat taat dan hari mereka dipenuhi dengan ketakwaan, namun sentiasa merasa amal dan ibadah mereka masih kurang. Mereka tidak melihat hal itu sebagai jaminan dan pemberi rasa aman daripada api neraka bila saja tidak mendapatkan curahan kurnia dan rahmat-Nya.

Sebab itu mereka selalu kelihatan takut, cemas dan khuatir dengan azab neraka jahanam. Mereka selalu memohon kepada Allah supaya menghindarkan mereka daripada azab neraka. Inilah sifat setiap mukmin yang bersungguh dalam berbuat taat kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang takut terhadap azab Rabbnya, kerana sesungguhnya azab Rabb mereka tidak dapat orang merasa aman (dari kedatangannya).” (Surah al-Ma’arj, ayat 27-28)

Ibadurrahman juga tidak suka pembaziran. Syaitan selalu menyuruh berbuat keji dan mungkar tetapi hamba Allah akan bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap harta mereka, dari mana mereka peroleh dan kepada siapa mereka infakkan.

Mereka juga tidak pernah kikir terhadap diri sendiri dan keluarga, dalam erti bersedia memberikan hak untuk hal yang diwajibkan Allah kerana mengetahui Allah mencela sifat kikir serta bakhil.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.” (Surah al-Isra’, ayat 29)

Sifat tawaduk benteng perasaan riak, sombong

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

UMAT Islam perlu sentiasa mengemaskinikan diri dan hati ke arah kecemerlangan dari semasa ke semasa supaya akan akan menjadi insan disegani, dihormati dalam masyarakat serta dirahmati Allah.

Selain itu, perasaan ingin cemerlang melahirkan watak yang Islami seterusnya menjadi daya penarik bagi pandangan orang bukan Islam dan watak itu mampu menterjemahkan keindahan ajaran Islam.

Orang Islam yang ada keinsafan tinggi, iman teguh, akan menerima apa saja ketetapan Allah ke atas dirinya baik berbentuk kebahagiaan, mahupun berbentuk kedukaan dan mematuhi setiap hukum serta peraturan dengan penuh rela, pasrah tanpa sedikitpun melahirkan tindakan untuk menentang, memprotes atau membantah. Dalam Islam, orang begini disebut sebagai ‘tawaduk’.

Tentu sukar bagi sesetengah manusia menerima kenyataan yang ditakdirkan Allah dan mengakuri segala perintah-Nya, jika semua itu tidak bersesuaian dengan nafsu, keinginan serta cita rasa hatinya.

Namun, bagi insan yang mengakui banyak kelemahan dan diri hanya tidak lebih sekadar hamba yang hina serta tidak mempunyai apa-apa, maka sudah tentu menerima kenyataan adalah perkara mudah dan menjadi amalan sepanjang kehidupan tanpa rasa takut atau bimbang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan supaya umat Islam menghiasi diri dengan sifat tawaduk. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Hikmah di sebalik suruhan Rasulullah SAW tadi, sifat tawaduk akan pasti melahirkan akhlak terpuji iaitu tidak akan menganiaya orang lain bahkan tersemai perasaan menyayangi saudaranya.

Tawaduk juga akan melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Sesungguhnya orang yang sombong akan dihumbankan ke neraka Jahanam seperti keterangan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bersifat sombong dan tidak patuh kepada-Ku akan diazabkan di dalam neraka Jahanam dan menderita kehinaan di dalamnya.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Selain itu orang yang bersikap zalim (aniaya) terhadap orang lain kerana semata-mata ingin melempias sifat sombong atau menunjukkan kehebatan, maka Allah akan menyegerakan balasan di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak suatu pun dosa yang lebih patut atau lebih berhak disegerakan hukumannya oleh Allah di dunia di samping nanti bakinya akan dikenakan lagi di akhirat, melainkan dosa berbuat aniaya (zalim) terhadap orang lain, dan memutuskan tali kekeluargaan (persaudaraan).” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Dalam memperelok budi pekerti dan akhlak Muslim sejati, maka adalah sangat bertepatan jika merenungi sabda Rasulullah SAW dengan penuh yakin dan keimanan yang tidak berbelah bagi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak mengurangkan harta kerana sedekah. Allah menambah kebesaran (kehebatan) seseorang yang minta maaf dan meninggikan darjat orang yang tawaduk.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu menyatakan ada tiga perkara sering kali diabaikan oleh orang bodoh, sombong serta tidak berfikiran jauh dan matang iaitu:

# Bersedekah - orang yang bersedekah tidak pernah dikurangkan hartanya, bahkan ditambahkan lagi oleh nikmat-Nya bagi orang yang mahu bersyukur.

# Minta maaf kerana bersalah - orang yang sombong menganggap minta maaf menandakan kelemahan lalu lebih baik meneruskan perkelahian daripada berdamai. Padahal, meminta maaf tandanya orang yang tawaduk dan suka kepada keharmonian hidup dalam masyarakat.

# Menerima kenyataan kebenaran - harga diri seseorang tidak akan jadi rendah dan hina bila bertawaduk. Bagi orang yang sombong, tidak mahu menerima kebenaran yang ada pada orang lain, bahkan berasa terhina untuk mengakui dan mengiktiraf kebenaran itu. Lihat saja kelakuan Rasulullah SAW, menerima apa saja bentuk pemberian tanpa sedikitpun rasa tidak puas hati.

Apabila kita perhatikan ketiga-tiga sifat yang disebutkan itu, semuanya mencerminkan akhlak mahmudah yang sinonim dengan ajaran Islam dan selalu diamalkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya tawaduk bukan bermakna kita berasa diri serba kurang, tidak berharga dan kurang harta. Tawaduk sebenarnya berasa sedar, insaf bahawa diri kita berasal dari tanah yang sama kecuali amal bakti dan takwa yang membezakan.